Laman Web Rasmi
JABATAN HAL EHWAL WANITA SABAH
Sabah Women's Affairs Department
Bersama Mencapai Kecemerlangan

Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS)

Pengenalan

Penubuhan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) tercetus berikutan gelombang kebangkitan wanita menuntut hak mereka melalui persidangan-persidangan wanita antarabangsa yang membawa kepada perubahan senario pembangunan wanita di seluruh dunia. Melalui persidangan yang bermula pada tahun 1975 di Mexico telah dibangkitkan bahawa perlunya dasar dan jentera pembangunan wanita ditubuhkan bagi membolehkan wanita diintegrasikan dalam pembangunan perdana. Perubahan-perubahan ini yang membawa kepada penubuhan jentera pembangunan wanita di peringkat Persekutuan ketika itu turut memberi impak kepada pembangunan wanita di negeri ini yang digerakkan secara bersama di peringkat kepimpinan wanita dalam kerajaan, parti-parti politik dan pertubuhan –pertubuhan wanita.

Penubuhan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS)

Berdasarkan senario tersebut,YB Datuk Ariah Tengku Ahmad, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perkhidmatan Sosial ketika itu, (kini dinamakan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Penguna) telah membawa keperluan penubuhan MPWS ke Kabinet Negeri dan Jemaah Menteri ketika itu bersetuju menubuhkan MPWS dan diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri.. Penubuhannya dilancarkan oleh ketua Menteri Sabah,YAB Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 26 Ogos 1988 yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Datin Dr.Siti Zaharah Sulaiman mewakili Kerajaan Persekutuan. Unit Hal Ehwal Wanita Sabah (UHEWS), kini dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) ditubuhkan seiring dengan penubuhan MPWS, yang berfungsi sebagai urus setia dan badan pelaksana MPWS.

Jawatankuasa Majlis

Bagi menggerakkan usaha membangun dan memajukan wanita, tujuh (7) Jawatankuasa Kecil diwujudkan berasaskan tujuh (7) bidang teras iaitu Pendidikan, Kesihatan, Gender, Ekonomi, Sosial, Undang-undang dan Media. Melalui Jawatankuasa-jawatankuasa ini, program –program dan keperluan dasar dirancangkan dan dikemukakan kepada MPWS untuk keputusan dan pelaksanaan melalui JHEWA yang bertindak sebagai urus setia MPWS. Perkara-perkara melibatkan dasar yang berkaitan dengan isu-isu wanita bagi mengintegrasikan wanita dalam pembangunan dikemukakan kepada pihak kerajaan yang lazimnya dibawa kepada Ketua Menteri untuk perbincangan dan pertimbangan.

Objektif

  • Menggalak, memudahkan dan meningkatkan peluang-peluang penyertaan wanita dalam pembangunan sosio-ekonomi sabah.
  • Bertindak sebagai penyelaras, Badan Penasihat dan perunding kepada kerajaan Negeri dan di antara Kerajaan Negeri dengan pertubuhan-pertubuhan wanita bukan kerajaan.
  • Melaksana dasar-dasar dan program yang memberi faedah kepada wanita Sabah di peringkat negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa.

Fungsi

  • Memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan berhubung isu wanita
  • Melaksana projek-projek melalui 7 Jawatankuasa Kecil yang dibentuk iaitu Pembangunan Kepekaan Gender. Ekonomi, Sosial, Pendidikan, Kesihatan Undang-Undang, Dan Wanita & Media.
  • Menyediakan perkhidmatan bantuan dan bimbingan kepada  Pertubuhan /Persatuan wanita bukan Kerajaan (Women NGOs).
  • Menyemak,menyelidik,mengkaji program/ projek serta cadangan-cadangan yang berkaitan dengan wanita.
  • Menyalurkan masalah wanita kepada pihak berkuasa berkenaan.

Logo MPWS

  • Menggambarkan perpaduan di kalangan wanita.
  • Pandangan daripada tepi yang menunjukkan wajah dua orang wanita yang memandang ke arah yang sama dan dilingkungi oleh gegelang melambangkan wanita bekerja bersama bagi matlamat-matlamat  bersama di dalam  semangat harmoni dan perpaduan.
  • Rekabentuk yang mudah dan tidak berselerak melambangkan kerjasama dan penyatuan.